mutakhir

Sampai hati abang...

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

HANYA kerana menegur suami memukul anak mereka, seorang wanita lebam di bahu kiri, mata dan mulut akibat dibelasah suaminya dengan bantal serta batang penyapu, di Kubang Pasu, semalam.

Dalam kejadian 7 malam itu, mangsa berusia 42 tahun sedang berehat di ruang tamu rumah mereka di Changlun, bersama suaminya berusia 37 tahun dan anak lelaki mereka berusia sembilan tahun.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, suspek kemudian mengusik anaknya yang sedang bermain permainan di telefon bimbit, namun anaknya itu bertindak memarahi bapanya.

Menurutnya, suspek yang berang kemudian terus memukul anaknya dengan bantal menyebabkan isteri menegur perbuatan suspek.

“Bagaimanapun, suspek yang tidak berpuas hati berpaling kepada mangsa dan terus menumbuk mukanya.

“Tidak cukup dengan itu dia terus memukul mangsa dengan bantal dan batang penyapu menyebabkan dia mengalami lebam di bahu sebelah kiri, mata dan mulut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ismail berkata, siasatan mendapati mereka sudah berkahwin sejak 15 tahun lalu dan memilik tiga anak lelaki.

Katanya, suspek ketika ini dipercayai tidak bekerja.

“Kejadian mangsa dipukul ini bukan kali pertama berlaku tetapi sebelum ini wanita itu tidak berani membuat laporan polis.

“Soal siasat juga mendapati suspek adalah seorang penagih dadah dan menyewa rumah itu sejak setahun lalu,” katanya.

Katanya, polis kini sedang mengesan suspek yang menghilangkan diri sejurus kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 3:08pm
d