mutakhir

Tersenyum bebas hukuman gantung [METROTV]

Oleh Hadzlihady Hassan

PENGARAH syarikat kejuruteraan dan ejen penghantar barang menarik nafas lega selepas mereka dilepas dan dibebaskan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Georgetown, hari ini daripada tuduhan mengedar 158 kilogram (kg) kokain, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azmi Abdullah membuat keputusan itu selepas dua tertuduh terbabit, Yu Beng Chuah, 51, dan Azhari Arshad, 47, didapati tidak bersalah terhadap pertuduhan bersama mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Azmi dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

“Pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah terbabit berada dalam kawalan kedua-dua tertuduh.

“Selain itu, pihak pendakwaan gagal membuktikan kedua-dua tertuduh mempunyai niat bersama untuk melakukan kesalahan terbabit,” katanya.

Yu yang juga pengarah syarikat jurutera itu dilihat tersenyum gembira sejurus mendengar keputusan terbabit.

Kegembiraan itu turut diraikan ahli keluarga dan pekerja syarikatnya yang hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan kes terbabit.

Namun, Azhari yang bekerja sebagai ejen penghantar barang dilihat terus menutup mukanya menggunakan tuala kecil dan beredar dari pekarangan mahkamah.

Mengikut pendakwaan, kedua-dua tertuduh menghadapi pertuduhan bersama mengedar 158,612 gram dadah di stor Logistik Kompleks Pencegah Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Jalan Perusahaan Prai pada 24 Februari 2016.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Yu dan Azhari diwakili peguam Eddy Kwang dan Y Anbanathan manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazir Amir Johari.

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 4:19pm
d