mutakhir

MAINPP tawar rumah ganti rumah

Oleh Zuhainy Zulkiffli

MAJLIS Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bersetuju menawarkan rumah ganti rumah kepada 14 baki penghuni rumah di atas Tanah Wakaf Abdul Cauder, Butterworth.

Selain tawaran rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi (92.90304 meter persegi) setiap unit itu, penghuni turut ditawarkan bayaran sewa rumah sementara sebanyak RM500 sebulan sehingga rumah pangsa kos sederhana di situ siap.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, tawaran itu diberi atas faktor kemanusiaan walaupun MAINPP mahu projek tanah wakaf itu dimulakan secepat mungkin.

Beliau berkata, bayaran elaun pindah keluar dan pindah masuk masing-masing berjumlah RM4,000 dan RM3,500 turut ditawarkan, namun bagi keluarga berkelamin, hanya ditawarkan bayaran pindah keluar.

“Mahkamah sudah beri tarikh hari ini (6 Disember) bagi penduduk berpindah, namun MAINPP mengambil keputusan bagi melanjutkan tarikh itu sehingga penghuni berkenaan bersetuju untuk berpindah.

“Jika alasan (tidak mahu berpindah) kerana tiada kenderaan, MAINPP tawarkan lori bagi memudahkan urusan mereka berpindah sebelum projek dijalankan dan mengambil masa kira-kira dua tahun bagi disiapkan,” katanya dalam sidang media di Jalan Macalister, Georgetown, hari ini.

Pada 2010, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi pembangunan atas Lot 208 Seksyen 2, Tanah Wakaf Abdul Cauder seluas 1.093 hektar (2.7 ekar) di Jalan Mengkuang, Butterworth.

Berdasarkan perancangan awal, sebanyak 470 unit rumah pangsa kos sederhana rendah setinggi 22 tingkat dirancang dibina bagi tujuan penempatan semula 46 penghuni terbabit.

Penghuni ditawarkan dengan tawaran sama, namun sehingga tempoh tawaran tamat pada September 2010, hanya 32 penghuni bersetuju dengan tawaran itu manakala 14 lagi enggan.

Sekali lagi MAINPP memohon bagi meneruskan perintah pelaksanaan pada 21 Jun 2018 dan writ milikan sudah ditetapkan pada 15 November 2018.

Sehingga kini pelaksanaan milikan kosong sudah tertangguh sebanyak tiga kali sejak penghakiman diperoleh pada 28 Februari 2014.

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 4:30pm
d