mutakhir

Elak provokasi - MB Terengganu

Oleh Baharom Bakar

“SAYA meminta seluruh rakyat Terengganu yang akan bergerak menyertai perhimpunan ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan berhimpun dalam keadaan aman, tenteram serta elakkan sebarang bentuk provokasi yang mungkin ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab,” kata Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau yang menyeru rakyat negeri itu menyertai perhimpunan membantah ICERD supaya menghindarkan diri daripada tindakan yang boleh mencetuskan kekacauan, provokasi dan rusuhan.

Beliau berkata, bagi memastikan perhimpunan itu diadakan secara aman, semua rakyat terutama dari negeri ini diminta mengelak daripada perlakuan negatif dan sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Kerajaan negeri menyeru dan meminta seluruh rakyat Terengganu yang cintakan keamanan dan keharmonian untuk bersama hadir pada perhimpunan ICERD di Dataran Merdeka, Sabtu ini.

“Saya dan beberapa pemimpin politik negeri ini termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan hadir menyertai perhimpunan ICERD,” katanya melalui kenyataan yang dimuatnaik melalui laman Facebook miliknya, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, peserta dinasihatkan mengikuti nasihat dikeluarkan pasukan keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan perhimpunan dilakukan dalam suasana penuh harmoni dan sejahtera.

Lagi berita berkaitan Perhimpunan ICERD

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 4:35pm
d