mutakhir

Pengawal keselamatan maut dalam nahas

Oleh Zaid Salim

LELAKI maut akibat dilanggar pacuan empat roda dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus, semalam.

Kejadian berlaku apabila mangsa, Mohd Razali Ismail, 42, dikatakan terjatuh ketika menunggang motosikal sebelum dilanggar Toyota Hilux dipandu warga emas berusia 72 tahun, pada 6.55 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135 LC dikatakan dalam perjalanan dari arah Gemuroh ke FELDA Belara.

“Sebaik tiba berhampiran jambatan pendek di Kampung Sungai Ikan, motosikal ditunggangi mangsa dikatakan terbalik dan mangsa terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar Toyota Hilux yang berada di belakang motosikal mangsa.

“Pemandu Toyota Hilux itu dikatakan gagal mengelak berikutan kejadian berlaku terlalu pantas, selain jarak antara kedua kenderaan berkenaan dikatakan agak rapat,” katanya ketika dihubungi.

Akibat kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mengalami kecederaan teruk di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu pikap terbabit tidak cedera.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Setakat ini kematian mangsa disebabkan kecederaan parah di kepala dan kita tidak dapat pastikan punca lain kerana waris mangsa tidak bersetuju untuk melakukan bedah siasat,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 1:02am
d