mutakhir

Fenomena Perigee

Oleh Helmy Abd Rahman

Kuala Berang: Orang ramai yang tinggal berhampiran pantai terutama di pantai timur diingatkan berjaga-jaga 24 Disember ini, berikutan ramalan berlaku fenomena Perigee iaitu kedudukan bulan paling hampir dengan bumi yang mengakibatkan berlakunya air pasang besar.

Pengarah Bahagian Pelaksanaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Azizan Abu Taat berkata, pihaknya memaklumkan kepada semua agensi terbabit dengan banjir supaya memanjangkan maklumat itu kepada masyarakat bagi membolehkan mereka membuat persediaan.

“Fenomena Perigee ini berlaku di seluruh negara dengan di pantai barat mungkin berlaku sedikit limpahan seperti di Selangor iaitu di Kapar (Klang), Kedah di Kuala Muda dan di Bagan Datoh, Perak.

“Bagaimanapun, di pantai timur, kami bimbang keadaan terjejas lebih teruk dan berlaku banjir sekiranya hujan akibat air tidak dapat mengalir ke laut kerana fenomena ini berlaku musim tengkujuh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Amfibia QBER di Jeti Kampung Dusun, Kuala Berang di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail dan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud.

Dalam pada itu Azizan berkata, pihaknya membuat persediaan rapi dengan meletakkan 78,000 anggota keselamatan dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi bencana banjir.

“Kami bersedia menggerakkan aset seperti bot, lori dan helikopter yang digunakan dalam operasi banjir.

“Selain itu, kami mengarahkan semua agensi yang terbabit dengan banjir membekukan cuti anggota masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 10:31am
d