mutakhir

'Sukar bagi kami'

Oleh Hazira Ahmad Zaidi dan Fakhrul Abid Mohamed Saifuddin

Kota Bharu: Akibat kemiskinan, sepasang suami isteri terpaksa menyerahkan anak bongsu daripada enam beradik kepada keluarga ipar pada 2015.

Tindakan pasangan suami isteri berkenaan bukan disebabkan tidak sayangkan anak mereka, namun bebanan hidup menyebabkan mereka mengambil keputusan demikian.

Wan Rohani Wan Mamat, 41, berkata, perasaannya sebagai seorang ibu tidak keruan apabila berpantang tanpa anak di sisinya, namun dia terpaksa menguatkan semangat demi memastikan kebajikan anak bongsunya, Nur Nabila Syakira Ismail.

“Saya menyerahkan Nur Nabila Syakira ketika berusia seminggu kepada keluarga sebelah suami yang tidak mempunyai anak dan kini mereka menetap di Gua Musang.

“Keputusan untuk menyerahkan anak yang lahir daripada rahim sendiri kepada orang lain untuk dijaga adalah keputusan yang sukar pernah dibuat, tetapi apakan daya memandangkan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Terdahulu keluarga berkenaan menerima kunjungan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pengkalan Chepa, Nasruddin Abdullah yang turut menghulurkan sumbangan kelengkapan persekolahan.

Wan Rohani berkata, suaminya, Ismail Razak, 42, hanya bekerja sebagai tukang kayu dengan pendapatan yang tidak menentu bagi menanggung keluarga termasuk lima anak berusia lapan hingga 17 tahun.

“Bagi meringankan beban suami, saya mengambil upah mencanting batik dengan pendapatan RM300 sebulan selain bekerja sebagai pembantu kedai makan di Pantai Cahaya Bulan (PCB) dengan kadar upah RM40 sehari,” katanya.

Katanya, dua anaknya iaitu Mohd Shahrul Akma, 17, dan Mohd Faris Amirul, 16, terpaksa berhenti sekolah untuk bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM20 hingga RM30 sehari.

Sementara itu, Nasruddin berkata, dia mengetahui kesusahan keluarga itu melalui maklumat yang diberikan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang dan terpanggil untuk melihat sendiri kedaifan mereka.

“Dalam kes ini, saya akan membantu dua anak keluarga ini yang tidak bersekolah untuk membantu mereka dalam bidang kemahiran bagi meringankan beban keluarga.

“Pada masa sama, kami juga akan cuba membaik pulih rumah keluarga ini dan turut mengalu-alukan sebarang kerjasama untuk membantu meringankan beban keluarga ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 11:28am
d