mutakhir

Akhirnya Eddy Johan pergi jua...

Oleh Rosli Ilham

KONTRAKTOR yang terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 101, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Paka, Dungun, Ahad lalu, disahkan meninggal dunia, hari ini.

Eddy Johan Abdullah, 42, yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, disahkan meninggal pada 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kematian itu daripada pihak HSNZ.

Katanya, jenazah mangsa diserahkan kepada keluarganya dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gong Pasir, Dungun.

Dalam kemalangan 2.20 petang Ahad lalu, mangsa yang memandu bersendirian dari arah Kerteh ke Paka dipercayai terbabas di selekoh tajam di situ, sebelum kenderaan Honda Accord dipandunya melepasi pembahagi jalan.

Berikutan itu, kenderaannya dirempuh kereta Proton Saga dari arah bertentangan sebelum dilanggar dua lagi kereta iaitu Perodua Bezza dan Proton Wira.

Eddy Johan cedera di kepala dan patah rusuk kiri, manakala pemandu Proton Saga berusia 43 tahun yang parah di kepala dan patah kaki dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

Pemandu kereta Produa Bezza berusia 49 tahun dan isterinya berusia 46 tahun serta pemandu kereta Proton Wira berusia 36 tahun turut cedera dan menerima rawatan di Hospital Dungun.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 12:29pm
d