mutakhir

Sambutan Hari Hak Asasi Manusia ditangguh

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menangguhkan sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail berkata, sambutan yang dirancang diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya, Sabtu ini ditangguhkan selepas pihaknya dimaklumkan oleh polis dan pejabat Perdana Menteri terdapat risiko keselamatan terhadap acara terbabit.

“Tanpa memberikan butiran lanjut kami dimaklumkan oleh kedua-dia pihak acara berkenaan terdapat risiko keselamatan yang serius dengan keselamatan negara.

“SUHAKAM kecewa kerajaan yang komited kepada hak asasi manusia kelihatan terpengaruh dengan taktik, tekanan dan ekstremisme yang mengakibatkan keperluan menangguhkan sambutan yang dirancang beberapa bulan lalu,”katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Razali berkata, pihak kami memohon maaf kepada orang ramai, tetamu, peserta dan sukarelawan sambutan ini.

“SUHAKAM akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan penangguhan sambutan berkenaan pada jam 4.30 perang hari ini,” katanya.

Terdahulu, , acara sambutan itu yang bertema ‘Memperjuangkan Hak Asasi Manusia’ atau #StandUp4HumanRights akan bermula pada 9 pagi dan dijangka berakhir pada 3 petang.

Pelbagai aktiviti disediakan pada hari berkenaan termasuk persembahan kebudayaan, nyanyian, jualan dan 30 gerai pameran mengenai hak asasi manusia.

Bagaimanapun, sambutan itu akan berlangsung hari sama dengan perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), di ibu negara.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 2:56pm
d