mutakhir

Bohong, mana ada kena dera

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

TERATAK Tautan Kaseh Murabbi menafikan dakwaan pusat pemulihan akhlak itu mendera pelatihnya sehingga mengakibatkan kecederaan serius seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar, baru-baru ini.

Pengasasnya, Shah Rizal Ramli berkata, tuduhan dua bekas pelatihnya sebelum ini, yang mendakwa mereka dikenakan proses pemulihan ala ketenteraan adalah tidak berasas.

Katanya, dakwaan bahawa pelatih berusia 18 tahun dan 22 tahun itu mengalami kecederaan juga tidak benar kerana keduanya cedera akibat kemalangan yang berlaku ketika mereka melarikan diri.

“Dalam kejadian pada 26 November lalu, mereka berdua bersama lima lagi pelatih melarikan diri pada waktu tengah malam, namun lima daripadanya dapat ditahan semula.

“Dua pelatih itu kemudian bersembunyi di rumah ibu saudara salah seorang daripada mereka sebelum wanita itu menghubungi kami untuk mengambil mereka semula,” katanya pada sidang media, di Sungai Petani.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan dua remaja mendakwa didera sepanjang menjalani rawatan di pusat pemulihan akhlak termasuk digari dan dikurung dalam sel selain dipukul menggunakan batang paip dan rotan sehingga mengakibatkan kecederaan.

Kedua-dua mereka turut mendakwa proses rawatan yang dikenakan ke atas 30 pelatih lain berusia antara 14 dan 41 tahun agak keterlaluan berikutan pusat akhlak itu menggunakan kekerasan melampau.

Berikutan itu, kedua-dua pelatih membuat laporan polis minggu lalu, selepas mendakwa mengalami kecederaan ketika menjalani proses rawatan di pusat berkenaan.

Shah Rizal turut membawa media bertemu pelatihnya yang lain sambil menunjukkan bahagian badan mereka sama ada di dera atau tidak di pusat pemulihan berkenaan.

Beliau juga turut menunjukkan sel yang didakwa pelatih dalam kalangan penagih dadah dikurung berbulan-bulan, sebaliknya ia hanya bagi tempoh dua minggu kerana pelatih mampu berubah menjadi agresif ketika mula menjalani rawatan.

Sehubungan itu Shah Rizal memberi tempoh 48 jam kepada waris pelatih, wartawan dan seorang pemilik akaun Facebook yang dipercayai waris pelatih kerana membuat fitnah ke atas pusat itu untuk memohon maaf atau tindakan undang-undang akan diambil.

“Tindakan mereka membuat laporan mengakibatkan tiga warden dan bukannya ustaz seperti yang dilaporkan ditahan polis dan direman beberapa hari sebelum dibebaskan kelmarin,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, ketika dihubungi mengesahkan tiga warden berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis dan kes masih disiasat.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 3:34pm
d