mutakhir

Bantah ICERD: PAS, UMNO cemburu PH utuh

Oleh Suzalina Halid

HIMPUNAN aman bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijadual berlangsung esok hanya diadakan bermotifkan politik untuk kepentingan PAS dan UMNO.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya membidas permainan politik kedua-dua parti itu yang dilihat berisiko menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam kalangan rakyat melalui sentimen perkauman dalam ICERD.

“Kita harus faham perhimpunan esok antara UMNO dan PAS tidak lain tidak bukan hanya perhimpunan politik semata-mata dan yang tidak berapa cantiknya ialah sentimen perkauman keagamaan yang cuba mereka bawa.

“Perkara ini kalau tidak diawasi boleh menimbulkan rasa resah dan boleh menyebabkan ketegangan dalam masyarakat, walhal ketika ini sepatutnya kita memberi tumpuan kepada perpaduan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan PH Kedah di Alor Setar, hari ini.

Himpunan bantahan terhadap ICERD dijadual berlangsung esok di Dataran Merdeka yang dijangka dihadiri ratusan ribu khususnya penyokong PAS dan UMNO.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan dua parti pembangkang itu cemburu dengan keutuhan gabungan PH dan cuba memporak-perandakannya dengan menggunakan isu berkaitan ICERD.

“Kita tak berapa faham apa sebenarnya tujuan bila ditimbulkan isu perkauman dan keagamaan sehingga menimbulkan emosi.

“Apa yang mereka timbulkan ialah isu politik mungkin mereka iri hati sebab PH begitu kukuh gabungannya, mereka tidak akan dapat menjejaskan hubungan antara empat parti dalam pakatan ini, ” katanya.

Sementara itu dalam ucapannya pada majlis sama, Mukhriz meminta pemimpin PH menghargai budi dan jasa rakyat yang sanggup membuat perubahan luar biasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, dengan cara berkhidmat kepada mereka sebaik mungkin.

Beliau berkata, rakyat selayaknya menerima setinggi-tinggi penghargaan daripada kerajaan berikutan mereka sanggup mengambil risiko menukar kerajaan Mei lalu.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 5:46pm
d