mutakhir

Tangguh perbicaraan kes rogol, bunuh kakitangan JPN

Oleh Harun Yahya

PERBICARAAN kes rogol dan bunuh petugas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26, di Mahkamah Sesyen Sibu, ditangguhkan kepada 19 Februari tahun depan.

Hakim Caroline Bee Majanil membenarkan penangguhan itu selepas mendengar permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Tajul Ariffin Musa.

Terdahulu, pendakwa raya memohon kes ditangguhkan semula bagi menunggu beberapa laporan dan dokumen berkaitan kes dilengkapkan.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh, Philip Uja, 42, ditahan semula di lokap polis untuk dihadapkan ke mahkamah pada tarikh baharu berkenaan.

Pada 21 Ogos lalu, Philip dihadapkan di mahkamah sama dan dituduh atas dua pertuduhan merogol dan membunuh penjawat awam berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Nurnia Azalea di sebuah bilik tidak bernombor di Jalan Tiong Hua, Sibu antara 8 malam sehingga 2.30 petang pada 1 sehingga 2 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 376 (4) Kanun Keseksaan pula, tertuduh didakwa merogol mangsa sehingga menyebabkan kematiannya, juga di lokasi kejadian yang sama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dan Seksyen 376 (4) kanun sama kerana merogol mangsa.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 7:34pm
d