mutakhir

Wanita disyaki dalang sindiket tipu tiket

Oleh Junaidi Ladjana

DUA wanita ditahan kerana disyaki dalang sindiket penipuan tiket penerbangan dengan membabitkan kerugian RM162,285.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, kedua-dua wanita berusia 33 dan 37 tahun itu ditahan pada 25 dan 26 November lalu di bandar raya ini susulan satu laporan polis dibuat oleh mangsa yang mengatakan ditipu sindiket berkenaan.

“Polis menerima laporan daripada salah seorang mangsa pada 23 November lalu, apabila tiket yang ditempah dari syarikat menawarkan yang tiket penerbangan tambang murah dengan bayaran RM6,000 tidak diperoleh.

“Susulan laporan itu, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah menahan dua wanita di bandar raya ini yang disyaki terbabit dalam kes sindiket penipuan tiket penerbangan tambah murah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, Kota Kinabalu, hari ini.

Omar berkata, siasatan lanjut juga mendapati sindiket penipuan itu bergiat aktif di seluruh daerah di Sabah sejak Ogos lalu dan setakat ini, 71 laporan polis dibuat membabitkan kerugian RM162,285.

“Semua penipuan membabitkan penerbangan dalam negara. Sindiket ini juga melantik beberapa ejen bebas dan menawarkan komisen kepada ejen sekiranya berjaya mendapat pelanggan.

“Ejen yang dilantik juga diberi komisen sebanyak RM50 hingga RM150 sekiranya memperkenalkan kepada pelanggan baru.

“Modus operandi sindiket ini dengan membuat promosi di media sosial Facebook, WhatsApp dan Telegram dengan menawarkan pakej tambang tiket kapal terbang pergi dan balik yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.

Beliau berkata, kini kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan dan salah seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan sindiket pelaburan emas dan pernah dipenjara dua tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Sehubungan itu, saya menasihatkan orang awam agar berwaspada membeli tiket kapal terbang daripada syarikat yang betul saja, pastikan syarikat itu wujud dan sah,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 7:46pm
d