mutakhir

Dr M doakan himpunan ICERD lancar [VIDEO]

Oleh Zanariah Abd Mutalib

“BAGI pihak kerajaan, jika perhimpunan itu diadakan atas dasar kesyukuran, kita mengucapkan terima kasih kerana sokongan yang ditunjukkan,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri bagaimanapun mahu penganjur perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka esok itu supaya memastikan tidak berlaku kekacauan atau kerosakan ke atas harta benda awam.

Beliau turut meminta supaya peserta perhimpunan tidak membuang sampah di merata-rata tempat dan menjaga kebersihan.

“Pihak kerajaan tidak berhasrat menghalang atau menyukarkan penganjur perhimpunan kerana ini bertentangan dengan dasar kerajaan yang mendokong prinsip demokrasi.

“Cuma satu sahaja permintaan kerajaan iaitu penganjur perlu membantu pihak polis dan pihak berkuasa yang lain dalam memastikan tidak berlaku kekacauan atau kerosakan ke atas harta benda awam

“Saya doakan agar perhimpunan itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan, mari kita sama-sama meraikan demokrasi di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pesanan ringkas yang disampaikan dalam laman Youtubenya, hari ini.

Lebih 500,000 orang dijangka menghadiri perhimpunan ‘kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi ICERD di ibu kota esok.

Dr Mahthir berkata, walaupun Kabinet memutuskan Malaysia tidak akan meratifikasi ICERD pada 23 November lalu, tetapi perhimpunan itu tetap diteruskan esok.

“Saya tidak nampak perlunya perhimpunan itu diteruskan. Bagaimanapun, beberapa pihak menyatakan ia perlu diteruskan sebagai tanda kesyukuran di atas keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 8:54pm
d