mutakhir

Kerajaan perlu perhebat penguatkuasaan

Oleh Skuad Khas Harian Metro

BAGI menyelesaikan masalah penyeludupan rokok seludup di seluruh negara, rakyat menggesa kerajaan supaya mewujudkan hukuman yang lebih berat kepada penyeludup dan penjual barangan haram berkenaan.

Kajian dilakukan beberapa agensi berkaitan sebelum ini dengan jelas menyarankan kerajaan supaya memperhebatkan penguatkuasaan kepada sindiket penyeludupan yang mencuri hasil negara sebanyak RM5 bilion setiap tahun.

Malah, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019 menegaskan JKDM akan meningkatkan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan rokok serta menyasarkan kutipan semula cukai sekurang-kurangnya RM1 bilion.

Untuk rekod, rokok seludup menguasai 63 peratus pasaran yang mana daripada 100 batang rokok, 63 daripadanya adalah rokok seludup sehingga membangkitkan kesedaran umum dan beberapa ahli parlimen yang turut menggesa tindakan tegas diambil kerajaan bagi mengatasi perkara itu.

Soal selidik yang dilakukan Harian Metro secara terbuka di laman rasmi Facebook (FB) membuktikan rakyat juga mahu hukuman tegas dikenakan kepada ahli sindiket penyeludupan dan penjual rokok haram berkenaan.

Malah, rata-rata netizen bersetuju dengan saranan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mengenakan hukuman lebih berat termasuk denda minimum RM100,000 dan sebatan bagi membanteras kegiatan haram berkenaan.

Terdahulu, hukuman berkenaan diusulkan Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri T Subramaniom bagi memperkasakan Akta Kastam 1967 dalam memerangi kegiatan penyeludupan rokok seludup.

Akta sama sebelum ini hanya memperuntukkan hukuman denda maksimum 20 kali ganda nilai barangan dan penjara lima tahun yang nyata tidak menggerunkan sindiket penyeludupan itu.

Jika pindaan itu dilaksanakan, mana-mana penjual rokok seludup bakal dikenakan denda minimum RM100,000 walaupun didapati bersalah menjual hanya satu karton rokok seludup.

Untuk rekod, soal selidik yang mengutarakan enam soalan utama berkaitan hukuman, denda setimpal dan kehilangan cukai negara itu dilakukan bagi tempoh 24 jam disertai 24,698 pengundi.

Antara soalan dibangkitkan:

1) Pada pendapat anda, adakah produk tidak sah mengancam ekonomi dan keselamatan negara?;

2) Adakah anda berpandangan kawalan keselamatan di sempadan negara longgar hingga menyebabkan kartel penyeludupan rokok mudah keluar masuk di negara ini?;

3) Sedarkah anda Malaysia kerugian RM5 bilion setiap tahun akibat kegiatan penyeludupan rokok yang jelas tidak membayar cukai?;

4) Perlukah kerajaan meningkatkan usaha untuk menangani masalah penyeludupan rokok?;

5) Perlukah penalti lebih berat dilaksanakan untuk menghentikan kegiatan perdagangan rokok tidak sah?; dan

6) Hukuman mana lebih sesuai dilaksanakan untuk menangani isu penyeludupan rokok di negara ini?

Bagi soalan pertama, 85 peratus (%) daripada 2,829 pengundi bersetuju bahawa produk tidak sah mengancam ekonomi dan keselamatan negara berbanding 15% tidak bersetuju.

Manakala, daripada 3,317 pengundi, 85% berpandangan kawalan keselamatan di sempadan negara longgar menyebabkan kartel penyeludup mudah keluar masuk ke negara ini berbanding 15% tidak bersetuju.

Bagi soalan ketiga, hanya 39 peratus daripada 5,529 pengundi menyedari Malaysia kerugian RM5 bilion setahun akibat kegiatan penyeludupan rokok berbanding 61% tidak menyedari perkara berkenaan.

Manakala, daripada 5,775 pengundi, 66% bersetuju kerajaan perlu meningkatkan usaha menangani masalah penyeludupan rokok berbanding 34% yang mengundi tidak perlu.

Bagi soalan kelima, 74% bersetuju penalti lebih berat dilaksanakan untuk menghentikan perdagangan rokok tidak sah berbanding 26% tidak bersetuju. Soal selidik bagi soalan ini disertai 2,710 pengundi.

Seramai 4,538 pengundi pula menyertai soal selidik bagi soalan terakhir yang mana 68% memilih denda RM100,000 ke atas berbanding 32% memilih hukuman penjara tak lebih 30 hari apabila mereka diminta membuat pilihan jenis hukuman mana yang lebih sesuai dilaksanakan bagi menangangi isu penyeludupan rokok seludup.

Pakar, senator setuju

Sementara itu, dapatan hasil soal selidik dilakukan Harian Metro mengenai peruntukkan hukuman lebih berat kepada penyeludup dan penjual rokok seludup turut dipersetujui beberapa senator serta pakar.

Hukuman denda minimum RM100,000 dan sebatan yang diusulkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dipercayai bakal dijadikan senjata oleh agensi berkenaan bagi memerangi kegiatan haram yang menghilangkan sehingga RM5 bilion setahun.

Berikut adalah reaksi daripada mereka:

Senator, Datuk Seri Ti Lian Ker

"Sememangnya penyeludupan rokok mendatangkan keuntungan lumayan dan ia telah dilakukan oleh sindiket tertentu dengan bantuan pihak tertentu termasuk rasuah dalam kalangan penjawat awam.

"Ini telah merugikan kerajaan kerana hasil yang patut dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk cukai, dapat kepada sindiket atau black market ini.

"Kerajaan seharusnya mengambil tindakan secara bersungguh-sungguh untuk mengawal dan membanteras aktiviti ini yang masih berleluasa. Saya bersetuju kalau tindakan yang diambil dapat mengekang atau mengawal aktiviti ini, hukuman atau sebatan, tapi hukuman perlu lebih tinggi.

"Hukuman yang tinggi ini cuma antara salah satu cara. Perlu kajian yang lebih menyeluruh dari segi tindakan yang perlu diambil ke atas penguatkuasa yang sengaja mengambil rasuah untuk kesenangan sendiri," katanya.

Senator Mohd Yusmadi Yusuff

"Apakah kerangka dasar yang boleh kawal selia benda ini (penyeludupan rokok). Undang-undang ada, agensi ada, isunya adalah penguatkuasaan. (Penguatkuasaan) hanya akan efektif jika sistem sokongan berfungsi dengan baik. Ini bukan satu jenayah yang kompleks seperti jenayah siber dan anti keganasan. Ia isu lama dan ada kaitan dengan korupsi.

"Perlu diberi perhatian khusus, saya cadangkan ada satu task force untuk tengok isu ini kerana membabitkan jenayah rentas sempadan dan perairan. Sebelum ini LHDN ada task force untuk kutip cukai, jadi kena ada task force (perangi rokok seludup).

"Kerajaan perlu kemas kini balik dan kaji semula pasal rokok murah kerana kerajaan tahu siapa pemilik lesen, jadi kena ketatkan undang-undang sedia ada. Saya setuju kalau penalti dinaikkan untuk memastikan tidak ada yang ambil kesempatan," katanya.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar

"Kegiatan kartel rokok ini perlu ditangani secara bersungguh-sungguh seperti memerangi dadah kerana jika dibiarkan, kartel yang turut terbabit dengan jenayah keganasan ini mampu mengugat kestabilan dan keselamatan negara.

"Hukuman denda dan sebatan yang tegas serta penguatkuasaan berterusan diyakini mampu membanterasnya.

"Namun, bukan sekadar peruntukkan undang-undang sahaja diperketatkan sebaliknya, pegawai penguatkuasa yang berintegriti tinggi juga penting dalam menjayakannya," katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 11:13pm
d