mutakhir

30,000 peserta dijangka hadir

Oleh Shafeek Affendy Razali

PERHIMPUNAN aman kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dijadualkan berlangsung di Jalan Raja, Kuala Lumpur, hari ini, berkemungkinan dihadiri lebih 30,000 peserta.

Berdasarkan maklumat sumber diterima, tempahan hotel kawasan sekitar Jalan Masjid India, Jalan Silang, Pasar Seni, Bukit Bintang, Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) serta Jalan Pudu, tidak mencatatkan jumlah luar biasa.

Sebaliknya, jumlah tempahan bilik hotel masih berada pada tahap sama seperti hari sebelum ini.

Berkemungkinan sebahagian besar peserta tiba pada pagi ini dengan menaiki bas atau kenderaan disewa atau datang dari kawasan berhampiran sekitar Lembah Klang.

Sumber memaklumkan, antara lokasi titik pertemuan yang disarankan untuk peserta berkumpul sebelum bermulanya perhimpunan adalah di hadapan pusat beli-belah Sogo, kawasan pekarangan stesen LRT Masjid Jamek, Jalan Tun Perak serta Masjid Negara sebelum bergerak menuju ke hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad menjelang jam 1 tengah hari.

Khamis lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata pihaknya akan menutup enam jalan di sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur bermula jam 6 pagi hari ini, disebabkan perhimpunan berkenaan.

Beliau berkata, antara jalan berkenaan adalah Jalan Sultan Hishamuddin (sebelum terowong), Leboh Pasar, Jalan Tun Perak (bermula di stesen LRT Masjid Jamek), Jalan Tuanku Abdul Rahman (berhampiran Sogo), Jalan Raja Laut (berhampiran Summit Hotel) dan Bulatan Dato’ Onn (berhampiran Bank Negara).

Katanya, pihak polis akan mengambil tindakan tunda dan saman kepada kenderaan yang dikesan melanggar peraturan jalan raya, undang-undang serta arahan pihak berkuasa.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222, IPD Brickfields di talian 03-22979268, dan pusat kawalan polis Kuala Lumpur di talian 03-21460532(sambungan 584/585) atau mana-mana balai polis berhampiran.

Lagi berita berkaitan Perhimpunan ICERD

Disiarkan pada: December 8, 2018 @ 8:51am
d