mutakhir

Usah cetus provokasi - KPN [METROTV]

Oleh Fazrik Kamarudin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan peserta perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada petang ini supaya tidak mencetuskan sebarang provokasi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata ini kerana PDRM sudah bersiap-siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan bakal berlaku.

Beliau berkata, sejak semalam PDRM sudah membuat pemantauan dan jumlah peserta perhimpunan pada pagi ini dianggar seramai 5,000 orang dan jumlah itu dijangka meningkat petang ini.

“PDRM sudah buat persiapan serapi mungkin dan kami berdoa dan berharap agar tiada apa-apa yang berlaku pada petang ini.

“Sekiranya perhimpunan ICERD ini tidak selesai selepas 6 petang ini, PDRM akan terus memantaunya sehingga pagi esok dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini,” katanya pada sidang media sempena Majlis Berkhatan Perdana PDRM 2018, di Masjid Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

Khamis lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, PDRM akan menutup enam jalan di ibu negara bermula 6 pagi hari ini

Tindakan berkenaan dibuat bagi memberi ruang kepada peserta berhimpun di Jalan Raja di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad dan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, seramai 74 kanak-kanak berumur lapan hinggan 10 tahun terdiri daripada anak warga PDRM menyertai majlis berkhatan berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Lagi berita berkaitan Perhimpunan ICERD

Disiarkan pada: December 8, 2018 @ 11:50am
d