mutakhir

'Banyak premis tak beroperasi...'

Oleh Siti Azila Alias

KEBANYAKAN premis terutama kedai menjual pakaian sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, tutup berikutan perhimpunan ‘kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), hari ini.

Tinjauan NSTP mendapati, kebanyakan kedai tidak beroperasi seperti biasa, begitu juga dengan kehadiran pengunjung yang boleh dibilang dengan jari.

Biasanya, operasi di kawasan terbabit meriah apatah lagi pada hujung minggu dengan orang ramai mengambil peluang hari cuti untuk membeli-belah.

Tetapi, apa yang berlaku hari ini sebaliknya apabila hanya beberapa peniaga saja berani membuka kedai namun, pada masa sama mengambil pendekatan berhati-hati.

Ada pengunjung yang dilihat berpatah balik selepas melihat lautan baju putih memenuhi kawasan sepanjang jalan berkenaan.

Peniaga kain, Faridah Abu Salim, mengakui bimbang dengan situasi itu biarpun setakat ini keadaan masih aman dan terkawal.

“Ada juga rasa was-was tapi, bos suruh buka (kedai).

“Tambahan, ada beberapa kedai lain yang turut beroperasi, rasa okey sikit. Tapi, kalau semua tutup saya pun tak berani juga.

“Walaupun masih aman, saya tetap ambil langkah berhati-hati dan tidak keluarkan semua barang sebab kalau apa-apa jadi senang nak tutup,” katanya.

Bagi Emilia Akhiruddin, dia sudah menjangkakan akan ‘hilang’ pelanggan hari ini berikutan perhimpunan itu.

Katanya, ia mungkin didorong oleh faktor bimbang akan keselamatan menyebabkan orang ramai takut untuk keluar pada hari ini ditambah dengan banyak jalan ditutup.

“Setakat ini masih aman, tapi saya berhati-hati dan memantau keadaan dari masa ke masa.

“Jika tiada pelanggan, mungkin saya akan ikut peniaga lain tutup kedai,” katanya.

Sementara itu, tiga penuntut Universiti Malaya (UM) terkejut melihat ribuan manusia memenuhi Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Farahatul Adha khalid,20, bersama dua rakannya, Nurul Syafika Abd Karim dan

Najwatul Makwa Khalid datang ke situ menaiki Grab untuk membeli-belah dan tidak tahu ada perhimpunan.

“Kami datang nak cari baju tapi, sampai-sampai saja di sini terkejut tengok ramai orang pakai baju putih.

“Kami memang tak tahu ada perhimpunan. Pemandu Grab yang bawa kami pun tak tahu.

“Memang perasaan tu takut, bimbang keselamatan sebab majoritinya adalah lelaki,” katanya.

Mereka kemudian mengambil keputusan untuk keluar dari kawasan terbabit dan pergi ke lokasi yang lebih selamat.

Setakat jam 12 tengah hari ini, jumlah peserta perhimpunan yang terdiri daripada wakil parti politik serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari seluruh negara semakin bertambah dan mereka dijangkakan akan bergerak ke Dataran Merdeka pada jam 2 petang nanti.

Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Susulan kenyataan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya, memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka hari ini tetap diteruskan, namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan memaklumkan UMNO akan menyertai perhimpunan itu sebagai tanda ‘terima kasih’ terhadap keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD.

Lagi berita berkaitan Perhimpunan ICERD

Disiarkan pada: December 8, 2018 @ 12:39pm
d