mutakhir

Rusuhan kuil : 106 sudah ditahan!

Oleh Fazrik Kamarudin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat lagi suspek disyaki terbabit dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 26 November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, jumlah tangkapan itu adalah yang terkini, setakat jam 8 pagi hari ini.

“Ia menjadikan jumlah yang ditahan meningkat kepada 106 orang,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Berkhatan Perdana, Polis Diraja Malaysia 2018, di Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, seramai tujuh individu daripada 66 individu yang dicari polis sebelum ini, sudah tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, ditanya mengenai proses merakam keterangan Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, anggota bomba yang parah akibat rusuhan itu, Mohamad

Fuzi berkata, ia akan dilaksanakan selepas individu itu pulih sepenuhnya.

“Proses rakaman percakapan dia (Muhammad Adib) belum dilaksanakan lagi kerana keadaan kesihatannya yang belum mengizinkan.

“Insya-Allah kami akan terus rakam percakapannya apabila dia sudah kembali sihat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti suspek yang mencederakan Muhammad Adib.

“Siasatan untuk kesan suspek kini sedang dilakukan oleh pasukan petugas khas diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

“Siasatan itu akan dibuat bersama JSJ Bukit Aman dan JSJ Selangor,” katanya.

Insiden kekecohan pada awal pagi 26 dan 27 November lalu di tapak kuil terbabit turut menyebabkan 23 kenderaan musnah dibakar, kerosakan sebuah bangunan serta gangguan kepada ketenteraman awam.

Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah akibat kejadian itu, kini masih dirawat di Institut Jantung Negara.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: December 8, 2018 @ 2:32pm
d