mutakhir

'Usah menduga laut bergelora'

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“JANGAN menduga laut bergelora, sebaiknya nelayan tangguhkan dahulu aktiviti menangkap ikan bagi menjamin keselamatan mereka,” kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kol (PA) Che Adam A Rahman.

Che Adam berkata, beliau tidak mahu kejadian malang menimpa nelayan yang pernah berlaku pada musim tengkujuh lalu, berulang tahun ini.

“Sebelum ini pernah dilaporkan nelayan keluar menangkap ikan menggunakan bot gentian kaca dipukul ribut dan ombak besar sehingga terlingkup, seterusnya terpaksa berpaut pada pelampung sebelum diselamatkan.

“Saya bimbang jika perkara sama berulang, maklumlah keadaan cuaca sekarang tidak menentu dan berisiko kepada nelayan keluar ke laut,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Setia dan Pemakaian Pangkat Pegawai Pasukan dan Penyampaian Sijil Penghargaan APM Terengganu di Kuala Terengganu.

Pada majlis itu, seramai 11 anggota APM yang berkhidmat lama dan bersara menerima sijil penghargaan perkhidmatan, manakala empat Pegawai Sukarela APM dinaikkan pangkat Kapten.

Beliau berharap nelayan yang ingin meneruskan aktiviti menangkap ikan pada musim tengkujuh berfikir mengenai keselamatan mereka kerana keadaan ombak dan cuaca tidak dapat diduga sepanjang November hingga Februari.

“Biarpun mereka mempunyai bot besar atau kemampuan lain diyakini mampu menempuh ribut dan angin kencang, mereka tetap perlu berwaspada dan berjaga-jaga.

“Sentiasa pentingkan keselamatan diri sepanjang menjalankan aktiviti menangkap ikan di laut termasuk memakai jaket keselamatan dan pulang lebih awal sekiranya melihat awam hitam atau tanda kedatangan ribut,” katanya.

Menurutnya, dia berharap orang ramai terutama kanak-kanak yang sedang bercuti sekolah tidak mandi pantai pada musim tengkujuh terutama di kawasan kerap berlaku kejadian lemas.

Katanya, menjadi satu masalah dan sesuatu yang pelik apabila ada dalam kalangan masyarakat sengaja membawa ahli keluarga mereka berkelah di kawasan pantai yang pernah menjadi lokasi kes lemas di negeri ini.

“Sebaiknya elakkan daripada mengunjungi pantai yang berisiko dan larang anak daripada mandi di situ terutama pada hari hujan,” katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2018 @ 4:51pm
d