mutakhir

55,000 peserta hadir Himpunan ICERD, kata Polis [METROTV]

Oleh Safeek Affendy Razali

POLIS Kuala Lumpur menganggarkan 55,000 peserta hadir ke perhimpunan membantah ratifikasi ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), di sekitar ibu negara, hari ini.

Namun berdasarkan pengamatan yang dilakukan oleh wartawan NSTP jumlahnya mungkin mencecah ratusan ribu orang berdasarkan kepadatan peserta dalam satu masa serentak, 2 petang tadi di sekitar Jalan Raja sehingga ke Bangunan Dayabumi; Jalan Tun Perak sehingga ke Jalan Lebuh Ampang; Jalan Raja Laut sehingga ke Sogo; kawasan sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman.

Bagaimanapun penganjur Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) dan Sekretariat Kedaulatan Rakyat (RAKYAT) menganggarkan jumlah peserta adalah mencecah 300,000 orang.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, meskipun perhimpunan berjalan dengan aman terdapat beberapa kesalahan yang dilakukan oleh peserta gagal dikawal oleh pihak penganjur terutama membawa kanak-kanak.

"Himpunan ini berjalan dengan lancar dan selamat tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Bagaimanapun polis mengesan ada ibu bapa dan penjaga yang juga peserta perhimpunan membawa kanak-kanak ke perhimpunan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sejak pagi hingga perhimpunan berakhir kira-kira 5 petang tadi, sebahagian besar peserta dikesan masih membawa kanak-kanak ke perhimpunan berkenaan sekaligus melanggar syarat-syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA 2012).

  • Lagi berita berkaitan Perhimpunan ICERD
  • Disiarkan pada: December 8, 2018 @ 7:00pm
    d