mutakhir

Lima ADUN UMNO mungkin dipanggil semula - SPRM

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan memanggil semula lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan wujud gerakan menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, SPRM juga berkemungkinan akan memanggil Ahmad Faizal sekiranya siasatan dijalankan memerlukan kenyataannya diambil.

Katanya, setakat ini tidak ada individu baharu dipanggil selepas pihaknya mengambil keterangan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad serta lima ADUN parti itu.

“Kita (SPRM) kena lihat dulu keterangan yang ada, jika ada keperluan kita akan panggil (Ahmad Faizal), setakat ini belum ada yang terbaru dipanggil, kita (SPRM) tengok sama ada akan panggil semula saksi-saksi itu (lima ADUN BN), itu akan lihat kemudian.

“Siasatan masih berjalan dan setakat itu lah yang boleh saya beritahu dan kita akan cuba selesaikan kes ini secepat mungkin," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Walkabout Perdana sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2018 Peringkat Negeri Perak di Ipoh, hari ini.

Pada Khamis lalu, Saarani serta lima ADUN UMNO dipanggil memberikan keterangan selepas Saarani mendedahkan mempunyai lima akuan bersumpah (SD) daripada lima ADUN itu berhubung gerakan menjatuhkan Ahmad Faizal yang cuba dilakukan seorang EXCO kerajaan negeri.

Lima ADUN UMNO itu ialah ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Datuk Sham Mat Sahat (Alor Pongsu), Khairul Shahril Mohamed (Bota), Maslin Sham Razman (Bukit Chandan) dan Dr Jurij Jalaluddin (Lubuk Merbau).

SPRM juga sudah mengambil keterangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari selepas EXCO itu dikaitkan dengan gerakan itu.

Sebelum ini, Saarani mendakwa terdapat lima ADUN UMNO ditemui seorang EXCO kerajaan negeri iaitu Abdul Aziz bagi mendapatkan sokongan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Faizal.

Sementara itu, mengenai program walkabout yang berlangsung hari ini, Zainul berkata, seramai 200 sukarelawan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai program itu sempena HARA 2018.

Katanya, mereka terbabit akan bergerak ke beberapa lokasi sekitar bandar raya untuk mengedarkan risalah dan simbolik sekeping kertas berbentuk wang tertera alamat SPRM dan cara menghubungi agensi itu untuk membuat aduan rasuah.

“10 NGO menyertai program hari ini antaranya Yayasan Anti Rasuah Malaysia Negeri Perak (YARM), Majlis Belia Malaysia (MBM) Perak dan beberapa lagi, sasaran hari ini adalah untuk bertemu dengan 2,000 orang bagi mengedarkan risalah itu.

“Objektif kempen ini adalah untuk membolehkan masyarakat mendekati SPRM kerana tanggungjawab membanteras rasuah ini tidak boleh dipikul SPRM bersendirian, ia memerlukan bantuan masyarakat juga,” katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2018 @ 11:25am
d