mutakhir

Polis panggil penganjur perhimpunan

Oleh Teoh Pei Ying

POLIS akan memanggil penganjur perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ia susulan laporan diterima pihaknya berhubung perhimpunan itu.

“Kita ada terima laporan terhadap penganjur perhimpunan kerana didapati ada peserta yang membawa kanak-kanak ke perhimpunan itu.

“Tindakan itu jelas melanggar Seksyen 4(2)(f) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana membawa atau membenarkan kanak-kanak menghadiri perhimpunan, maka kita akan panggil penganjur untuk dirakam keterangan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau juga mengesahkan tiada pemimpin yang berucap dalam perhimpunan semalam akan disiasat di bawah Akta Hasutan.

Pada masa sama, polis mengucapkan terima kasih kepada penganjur atas kerjasama untuk menganjurkan perhimpunan yang aman.

“Mereka (penganjur) juga menepati janji mereka untuk mengutip sampah sebaik selesai perhimpunan, ini adalah contoh baik yang perlu diikuti oleh semua,” katanya.

Semalam, polis berkata kira-kira 55,000 peserta hadir ke perhimpunan dan tiada kejadian yang tidak diingini.

  • Lagi berita berkaitan Perhimpunan ICERD
  • Disiarkan pada: December 9, 2018 @ 3:33pm
    d