mutakhir

ICERD boleh diterima - Ku Li

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

ORANG Melayu perlu mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum tanpa mempunyai sikap prejudis, kata Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah

Pendapat itu diberikan Tengku Razaleigh merujuk kepada perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), di ibu negara semalam.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, perhimpunan itu disifatkannya baik jika mahu menunjukkan orang Melayu di negara ini bersatu namun ia lebih baik sekiranya membabitkan kaum lain.

“Dari satu segi bagus kesatuan Melayu, tetapi saya lebih suka kalau ada bukan Melayu ramai juga, kita negara yang ‘multiracial’ (pelbagai kaum), tak bolehlah Melayu saja.

“Tetapi kalau tujuan nak bersatu nak tunjukkan Melayu bersatu, bagus, namun lebih baik kita wujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Resepsi Perkahwinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari dengan bekas calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan 2014, Dyana Sofya Mohd Daud di Kelab Golf Diraja Perak di Ipoh, hari ini.

Tengku Razaleigh berkata, sesuatu perhimpunan yang ingin diadakan perlu membabitkan kaum lain kerana rakyat negara ini hidup dalam masyarakat majmuk tanpa boleh mengenepikan kaum lain.

“Kita kena ajak mereka samalah, dok kata Melayu Melayu, Islam Islam saja, diorang pun tak berani nak masuk.

“Suka tak suka kita kena hidup bersama, kita kena bekerjasama, banyak hal kita kena bertolak ansur, kita tak boleh segala-galanya nak milik untuk kita sahaja, kita kena berkongsi, langit pun kita kongsi, bumi pun kita kongsi, hidup kita kena kongsi, agama masing-masing,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pandangan peribadinya mengenai ICERD, Tengku Razaleigh berkata, ICERD boleh diratifikasikan namun memerlukan penjelasan lebih terperinci supaya tidak berlaku salah faham.

“Saya rasa ICERD boleh kita terima tetapi barangkali masa ini mesti beri penjelasan yang lanjut kepada rakyat jangan ada salah faham, ICERD bukan nak rombak Perlembagaan kita, nak buang mana-mana perkara dalam perlembagaan kita.

“Saya tak fikir itu tujuannya tetapi kita barangkali tak mahu terima sekarang kerana orang kita belum lagi sampai ke tahap yang kita boleh berlumba, taraf hidup berlainan lagi, jadi kita tidak dapat terima pada masa ini dan takut ada salah faham, baik kita jelas betul-betul kepada rakyat supaya dia boleh terima dengan hati terbuka,” katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2018 @ 3:44pm
d