mutakhir

Rusuhan kuil: Polis nilai semula tahap keselamatan

Oleh Fazrik Kamarudin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menilai semula tahap keselamatan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya sebelum membuat keputusan berhubung penugasan anggota polis di kawasan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, satu mesyuarat akan diadakan pada petang ini untuk membincangkan tindakan selanjutnya yang perlu dilakukan khususnya untuk mengurangkan jumlah anggota yang mengadakan kawalan keselamatan.

“Saya akan berbincang dengan Polis Selangor petang ini mengenai keadaan terkini keselamatan di kuil dan kawasan sekitarnya.

“Buat masa ini, tiada sebarang ancaman terhadap tahap keselamatan dan jika ia berterusan kita mungkin akan kurangkan jumlah anggota yang mengadakan kawalan keselamatan di sana kerana ia membabitkan kos.

“Bagaimanapun kita tidak boleh ambil mudah perkara itu, sebab itu polis terus memantau kawasan kuil dan pusat beli belah yang terbabit dalam kekecohan tempoh hari.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Ronda Cegah Jenayah Ketua Polis Negara bersama pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sekitar Central Market, Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, jumlah tangkapan terkini kes rusuhan di kuil adalah 106 orang.

Mengulas mengenai perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Fuzi berkata tiga individu akan dipanggil petang ini untuk dirakam keterangan mereka.

“Kita panggil kerana kita mendapati ada pelanggaran undang-undang mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) di mana masih ada yang membawa kanak-kanak.

“Kita mahu rakam keterangan penganjur, mereka sudah berjanji tidak melanggar APA 2012, tetapi ia masih berlaku,” katanya.

Difahamkan, penganjur akan dirakam keterangan mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, petang ini.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: December 10, 2018 @ 12:41pm
d