mutakhir

Ikut kiraan masing-masing...

Oleh Fazrik Kamarudin

TERPULANG kepada mana-mana pihak membuat dakwaan jumlah peserta perhimpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Fuzi berkata, perkara itu adalah subjektif, bagaimanapun pihaknya mempunyai anggaran tersendiri jumlah peserta dalam perhimpunan, kelmarin.

“Ada yang kata lebih daripada itu, ada pihak yang kata 100,000, ada pula yang kata 200,000.

“Malah, ada juga yang mengatakan jumlah adalah lebih daripada itu, perkara ini mengikut pandangan masing-masing.

“Bagi polis, kita ada jumlah rasmi yang kita keluarkan iaitu antara 55,000 hingga 60,000 jumlah peserta, kita dapat jumlah dalam lingkungan itu,” katanya selepas menghadiri program Ronda Cegah Jenayah Ketua Polis Negara bersama pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di Pasar Seni, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Seri Rosli Ab Rahman, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun.

Terdahulu tular di media sosial mengenai jumlah peserta himpunan terbabit yang didakwa mencecah hingga jutaan orang.

Kelmarin, satu perhimpunan aman membantah ratifikasi ICERD diadakan di Dataran Merdeka.

Berdasarkan kenyataan daripada pihak polis, peserta yang menghadiri perhimpunan berkenaan adalah seramai 55,000 orang sahaja.

Lagi berita berkaitan Perhimpunan ICERD

Disiarkan pada: December 10, 2018 @ 3:11pm
d