mutakhir

Keadaan Adib semakin positif

Oleh Asmah Rusman

ANGGOTA bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang parah dipukul perusuh di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Subang Jaya sudah boleh menulis pada papan putih untuk berkomunikasi.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, perkara itu dimaklumkan doktor yang merawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.

“Doktor menasihati agar Muhammad Adib tidak boleh dilawat dan hanya boleh dilihat begitu sahaja, namun pihak IJN ada memaklumkan kepada saya mengenai perkembangan terkini kesihatannya.

“Dia sudah boleh menulis pada papan putih kalau dia perlukan apa-apa, dan itu pastinya satu perkembangan yang baik kerana dia sudah mampu memberi tindak balas,” katanya dalam sidang media selepas melawat Muhammad Adib di IJN, hari ini.

Terdahulu, Mujahid menyampaikan wang sumbangan mewakili Yayasan Taqwa di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid.

“Sumbangan itu diharap dapat membantu sedikit sebanyak kewangan kedua ibu bapa Muhammad Adib yang mungkin memerlukannya sepanjang berada di sini ketika anaknya dirawat.

“Saya juga harap lawatan saya ini dapat menjadi kekuatan kepada keluarga Muhammad Adib untuk melalui trauma yang menimpa anaknya sebelum ini,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil itu.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: December 10, 2018 @ 4:47pm
d