mutakhir

'Orang miskin, mana ada harta'

Oleh Ahmad Suhael Adnan

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi mendakwa tidak memiliki harta untuk diisytiharkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah, Ahli Parlimen Silam dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu mengakui dirinya sebagai ‘orang miskin’ dan tidak mampu memiliki aset walaupun sebuah kereta atau rumah.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengisytiharkan aset sekiranya berpeluang membeli atau memiliki harta pada masa depan.

“Saya dah bagi (isytihar) semua (pada SPRM). Apa nak saya isytiharkan lagi kalau tak ada harta. Awak jawab saya.

“Saya tak ada harta. Tak ada (kereta atau rumah). Saya orang miskin.

“Disebabkan itu, tiada apa untuk saya isytiharkan. Orang miskin mana ada harta,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya sebagai anggota Kabinet, mengapa hanya mengisytiharkan pendapatan, tetapi tidak harta dan aset lain kepada SPRM, seperti yang tercatat dalam Portal Pengisytiharan Harta (https://mydeclaration.sprm.gov.my).

Semakan mendapati beberapa ahli parlimen hanya mengisytiharkan jumlah pendapatan bulanan tetapi tidak mengisytiharkan jumlah aset.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy, yang ditemui di lobi Parlimen turut menegaskan tidak memiliki harta untuk diisytihar atas alasan hampir semua pendapatannya sebagai peguam digunakan untuk memperjuangkan nasib masyarakat India miskin di negara ini.

Disiarkan pada: December 10, 2018 @ 6:15pm
d