mutakhir

Semoga lelaki pedofilia insaf [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG lelaki pedofilia dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan 19 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini selepas mengaku salah melakukan serangan seksual terhadap 12 kanak-kanak perempuan berusia antara enam hingga 11 tahun.

Hakim Wan Azimah Yaacob membuat keputusan itu selepas tertuduh Mohammad Amir Mohd Layi, 21, dari Marang mengaku salah terhadap 16 pertuduhan terbabit.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14(a), Seksyen 14(b), Seksyen 14(d) dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377E Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Wan Azimah dalam penghakimannya berharap hukuman yang dijatuhkan itu memberi keinsafan dan pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat untuk tidak melakukan jenayah sama.

“Kesalahan yang dilakukan tertuduh bukan sahaja keji dan salah di sisi agama, tetapi juga tidak disukai masyarakat. Malah, tertuduh turut melakukan kekerasan dengan menarik dan mengugut mangsa ketika kejadian.

“Hukuman dijatuhkan dengan mengambil kira kepentingan awam, apatah lagi kesalahan ini membabitkan kanak-kanak yang kita sedia maklum tidak mampu mempertahankan diri.

“Kamu (tertuduh) masih muda dan saya harap hukuman ini akan benar-benar menginsafkan kamu dan tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Tertuduh berdepan enam pertuduhan membabitkan lima kanak-kanak perempuan berusia antara lapan hingga 11 tahun di beberapa lokasi di Kuala Terengganu dan Marang antara 1 Januari 2017 hingga 5 Mac lalu.

Mohammad Amir turut didakwa melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak berkenaan termasuk pornografi dan melakukan seks oral terhadap tertuduh.

Selain itu, tertuduh yang juga anak keenam daripada tujuh beradik turut didakwa empat pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh dan 11 tahun di dua sekolah berasingan di Rusila dan Kelulut, Marang, antara 10 Julai 2017 hingga 18 Januari lalu.

Tertuduh turut berdepan enam lagi pertuduhan melakukan kesalahan itu terhadap lima kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 10 tahun di beberapa lokasi di Marang dan Kuala Terengganu antara 25 Februari 2017 hingga 26 Februari lalu.

Bagi semua kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara masing-masing sehingga tidak lebih 30, 20 tahun, 10 tahun dan lima tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud.

NSTP sebelum ini melaporkan, berpura-pura meminta mangsa menunjukkan tandas antara modus operandi lelaki yang dipercayai mengalami ‘penyakit’ pedofilia melepaskan nafsu batin menerusi penderaan seksual terhadap kanak-kanak perempuan.

Perbuatan lelaki yang dikatakan aktif melakukan jenayah itu sejak 2017 terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang mangsa pada 27 Mac lalu.

Disiarkan pada: December 10, 2018 @ 7:15pm
d