mutakhir

'Tawar nak beli, kononnya...'

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PEMILIK sebuah kedai emas di Pekan Kuala Pilah di sini, kerugian RM12,850 selepas seorang pelanggan lelaki bertindak melarikan gelang emas, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, suspek berusia 40-an mengunjungi premis itu jam 2.30 petang menyamar sebagai pelanggan.

“Suspek kononnya mahu membeli seutas gelang emas dan ketika tawar-menawar harga, suspek bertindak melarikan gelang seberat 27.61 gram berkenaan.

“Pemilik premis berusia 50-an cuba mengejar, namun suspek dilihat melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Axia ke arah Bahau," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syahrul Anuar berkata, pemilik premis kemudian menghubungi polis sebelum sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu, suspek memakai baju kemeja lengan pendek berwarna putih dan seluar jeans biru, berbadan gempal serta tinggi.

“Semakan nombor pendaftaran kereta digunakan suspek mendapati kenderaan itu didaftarkan atas Perodua Myvi milik seorang lelaki beralamat di Senawang, Seremban.

“Kita masih menjalankan siasatan sama ada kenderaan suspek itu menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Alice Kuba di talian 019-5389941.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 9:23am
d