mutakhir

'Ini tidak adil...'

Oleh Faris Fuad

LYNAS Corporation Ltd (Lynas) meminta kerajaan untuk mengkaji semula keputusan untuk menghantar sisa radioaktif kilang itu ke Australia.

Pengurus Sumber Manusia Lynas, Jumaat Mansor berkata, langkah itu akan menyebabkan lebih 1,000 kakitangan syarikat itu hilang pekerjaan.

Beliau menjelaskan, sebagai langkah alternatif, pihaknya boleh membina tapak pelupusan kekal (PDF) untuk menempatkan sisa radioaktif itu.

“Sebenarnya, kita masih dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), itu langkah pertama sebelum bertindak membina PDF.

“Kita mengeluarkan modal yang banyak untuk R&D, kita ikut SOP (prosedur operasi standard) nak buat R&D memerlukan masa, lepas itu baru boleh fokus PDF.

“Namun, secara tiba-tiba kerajaan maklumkan sisa radioaktif itu akan dihantar ke Australia, ini tidak adil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Pegawai Petugas Khas Parlimen kepada Menteri Luar, Adli Zakuan Zairakithnaini, di luar bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, kira-kira 130 kakitangan Lynas dari Kuantan, Pahang berkumpul di luar Parlimen dengan memegang beberapa sepanduk ‘Selamatkan Kerja Kami’ dan ‘Sila Berlaku Adil Kepada Kami’.

Mereka yang tiba di sini kira-kira jam 8 pagi menaiki tiga bas dan beberapa kereta.

Minggu lalu, Lynas dilaporkan perlu meneruskan permohonan mereka dengan pihak berkuasa berkaitan di Australia untuk menghantar balik semua sisanya sebelum tempoh lesen penstoran untuk jenis sisa itu tamat pada September 2019.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, berkata, ini kerana Australia adalah negara yang besar dan luas sementara keperluan guna tanah di negara kini semakin terhad kerana pertambahan penduduk.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 10:40am
d