mutakhir

Beri kuasa batal pendaftaran

Oleh Syalika Sazili

Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sembilan datuk bandar di negara ini akan diberi kuasa menunda dan membatalkan pendaftaran kenderaan terbiar atau terbengkalai.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, perkara itu akan dilaksanakan menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini (semalam) akan memudahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan pendaftaran kenderaan terbengkalai.

“Ketika ini, kita cuma mempunyai proses pendaftaran kenderaan dan pindaan ini bakal membenarkan pembatalan pendaftaran kenderaan dilakukan.

“Ini berupaya membantu menangani masalah kenderaan terbengkalai dihadapiPBT yang tidak mempunyai kuasa menunda kenderaan terbabit ketika ini.

“Kuasa ini termasuk kenderaan yang dibiar tersadai di kawasan perumahan,” katanya.

Beliau berkata, rekod menunjukkan ada 15,019 kenderaan terbiar dan terbengkalai di seluruh negara.

Loke berkata, pindaan itu turut memberi kuasa kepada sembilan majlis bandar raya melantik warden dalam membantu kelancaran aliran lalu lintas di kawasan masing-masing.

Katanya, ia merangkumi majlis bandaraya di Ipoh, Alor Setar, Petaling Jaya, Shah Alam, Pulau Pinang, Johor Bahru, Melaka, Kuala Terengganu dan Iskandar Puteri.

“Pindaan ini turut membenarkan JPJ mengutip bayaran bagi cermin kenderaan yang digelapkan, berbanding tiada bayaran dikenakan sebelum ini,” katanya.

“Bagaimanapun, kadar yuran terbabit belum diputuskan,” katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 12:16pm
d