mutakhir

Ibu parah, bayi selamat...

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

WANITA parah, manakala tiga yang lain termasuk seorang bayi cedera selepas Perodua Myvi dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 380, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Behrang di Behrang, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.10 pagi itu, mangsa yang parah berusia 29 tahun, manakala tiga lagi yang cedera termasuk bayi perempuan, berusia antara lima bulan hingga 33 tahun.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River, Yussli Abd Latif berkata, mangsa yang parah adalah ibu kepada bayi berkenaan, manakala bapa serta ibu saudara bayi hanya cedera ringan.

Katanya, bayi perempuan berkenaan hanya mengalami kecederaan di bahagian telinga serta terkena sedikit serpihan kaca di kepala dan sudah dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.

“Sebaik menerima panggilan jam 10.18 pagi, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba mendapati kesemua mangsa sudah dibawa keluar oleh orang awam.

“Selain bayi, kesemua mangsa yang lain iaitu ibu bayi yang parah, bapa serta ibu saudara yang cedera ringan juga dibawa oleh pasukan perubatan ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan kejadian dan memberitahu belum menerima laporan kemalangan itu.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 2:50pm
d