mutakhir

Ditemui lemas, selepas 24 jam

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

SELEPAS hampir 24 jam hilang dibawa arus sungai, seorang pemandu lori ditemui lemas dalam sungai di Batu 7, Jalan Bentong-Kuala Lumpur, Bentong, jam 10.15 hari ini.

Mayat mangsa dikenali sebagai Danesh Kumar, 18, ditemui anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang selepas usaha mencari mangsa dilakukan sejak petang semalam.

Pengarah JBPM Pahang Nor Hisham Mohammad berkata, mangsa sebelum itu terbabit dalam kemalangan jalan raya apabila lori dipandunya terbabas dan menjunam ke dalam sungai, pada 1.30 tengah hari semalam.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan sejak semalam selepas panggilan kecemasan diterima pada 1.32 tengah hari. Jentera pertama tiba 28 minit kemudian.

“Berdasarkan maklumat terdapat mangsa di dalam kenderaan itu sebelum kerja menyelamat dilakukan termasuk menggunakan kren. Sebaik kenderaan dibawa naik mangsa tidak ditemui,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kemudian mengerahkan pasukan PPDA yang melakukan pencarian pada 7.23 pagi hari ini di kawasan pencarian seluas 3.5 kilometer.

Katanya, mayat mangsa yang ditemui diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 3:13pm
d