mutakhir

'Tak pasal-pasal kena tumbuk...'

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG wanita di Dungun ditumbuk dan ditampar oleh suami kepada sepupunya selepas dituduh mengganggu rumah tangga mereka.

Kejadian berlaku jam 11.10 pagi kelmarin, ketika mangsa berusia 39 tahun menunggu di sebuah pejabat di Jalan Jerangau-Jabor di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa menunggu dengan sepupunya yang mahu mengambil barang.

Bagaimanapun, suspek berusia 30-an tiba-tiba datang dan menghampiri mereka.

Katanya, sepupunya itu bertengkar dengan suaminya dan mangsa mungkin cuba meredakan keadaan.

Bagaimanapun, mangsa kemudian dipercayai diserang oleh suspek,

“Lelaki itu dikatakan menampar pipi mangsa dan menumbuknya sehingga terkena telinga wanita itu,” katanya.

Beliau berkata, bimbang kejadian lebih buruk, sepupu mangsa berusia 30-an bertindak menghalau suaminya untuk keluar dari pejabat itu.

“Susulan kejadian, mangsa membuat laporan di Balai Polis Al Muktafi Billah Shah,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, dalam laporannya, mangsa mendakwa suspek menuduhnya menjadi punca keretakan rumah tangga mereka.

“Berikutan itu, usaha memburu suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 3:30pm
d