mutakhir

Impian huffaz di balik 'tirai besi'

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“MERINDUI tiga anak ialah beban yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Hanya al-Quran yang menjadi teman untuk saya mengubat kerinduan ini,” kata banduan dikenali Zul, 29.

Dia seorang daripada 2,613 penghuni Penjara Marang yang ditemui pada Majlis Penyerahan al-Quran dan Kelengkapan Solat Pertubuhan Kebajikan Warisan Melayu Islam Malaysia (WARISAN), baru-baru ini.

Menurut Zul, dia tidak pernah lagi bertemu tiga anaknya yang kini berusia dua, lima dan tujuh tahun selepas dua tahun menjalani hukuman itu malah, ketiga-tiga mereka menyangka dia bertugas di luar negara.

“Kami hanya berhubung melalui surat setiap bulan dan ia sedikit sebanyak membantu saya melepaskan rindu, selain menyibukkan diri dengan mengikuti kelas fardu ain dan al-Quran.

“Saya bersyukur selepas beberapa bulan berada di kelas al-Quran, saya dipilih untuk menjalani kelas hafazan dan sasaran saya sebelum keluar daripada penjara, ialah ingin menghafal 30 juzuk, ” katanya yang berasal dari Kampung Manir.

Zul bekas penjawat awam yang dihukum penjara enam tahun empat bulan kerana kesalahan memeras ugut warga asing.

Dia mengakui hikmah sebalik apa yang berlaku adalah masih diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menjadi orang yang lebih baik, berilmu agama dan mematuhi suruhan-Nya terutama solat lima waktu.

“Memang saya menyesal melakukan kesilapan sehingga terpaksa berjauhan dengan tiga anak, tetapi hikmah daripada apa yang berlaku juga besar kerana saya akhirnya bakal menunaikan impian arwah bapa yang mengharapkan saya menjadi seorang hafiz.
“Saya nekad ingin menghafal 30 juzuk al-Quran dan bimbingan ustaz serta warden penjara membuatkan saya lebih bersemangat untuk mempelajari teknik hafalan yang berkesan,” katanya yang sudah menghafal surah Al Baqarah selain Juzuk 30 atau Juzuk Amma.

Menurutnya, dia memperuntukkan satu jam sebelum dan selepas solat Subuh untuk menghafaz al-Quran selain waktu petang selepas solat Asar untuk mengulangi hafalan yang dibuat pada hari berkenaan.

“Selain menghafaz al-Quran, saya juga mengikuti kelas fardu ain dan kursus Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dengan harapan memperoleh sijil pentauliahan sebagai imam dan bilal yang boleh digunakan selepas dibebaskan nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penjara Negeri Terengganu, Timbalan Komisioner Ahmad Saidi Hamzah berkata, pelbagai aktiviti disediakan untuk penghuni di Penjara Marang termasuk kelas agama, fardu ain dan al-Quran.

Katanya, penghuni beragama Islam juga diajar bersolat dengan betul, membaca al-Quran dengan tajwid tertib.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 4:55pm
d