mutakhir

Ainin, pulanglah nak...

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SEORANG ibu merayu anak perempuannya yang menghilangkan diri sejak Jumaat lalu, supaya kembali ke pangkuan keluarga kerana terlalu merinduinya.

Hasanatul Khalikah Ali, 39, berkata sejak Nur Ainin Sufiah Mohd Adam, 17, tidak pulang rumah, dia tidak lena tidur kerana bimbang dengan keselamatan anak perempuannya itu.

Menurutnya, kehilangan anak sulung daripada lima beradik itu mengundang keresahan kerana Ainin yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak pernah berbuat demikian sebelum ini.

Katanya, Ainin adalah anak daripada perkahwinan terdahulunya, dan dia mendapat hak penjagaan bersama seorang lagi anak perempuan berusia 14 tahun.

“Ainin ada memberitahu dia mahu mencari kerja di sebuah pusat beli-belah di Seremban 2, selepas habis SPM. Namun, pada hari dia menghilangkan diri, saya ada memarahinya.

“Selepas itu, dia keluar rumah dan tidak pulang sehingga kini. Saya cuba hubunginya tetapi gagal, malah usaha mencarinya di rumah rakan serta kawasan sekitar Seremban juga tidak berhasil,” katanya ketika ditemui di Seremban, hari ini.

Bimbang kejadian tidak diingini, Hasanatul berkata, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, semalam.

“Berdasarkan maklumat, Ainin dikatakan mengikut ibu tirinya tinggal di Port Dickson tetapi saya tidak dapat mengesannya kerana tidak pernah berhubung dengan wanita itu.

“Saya amat merinduinya dan berharap dia berada dalam keadaan selamat. Saya ada hantar WhatsApp minta maaf kerana memarahinya dan berdoa Ainin pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Ainin diminta menghubunginya di talian 011-20702969.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 5:03pm
d