mutakhir

Penduduk 'cekup' PATI

Oleh Mohd Hilmie Hussin

KIRA-KIRA sebulan melihat kehadiran teksi di pantai berhampiran Masjid Kampung Pokok Asam, Klebang membuatkan 30 penduduk merancang sendiri ‘operasi’ mengintip kegiatan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Tindakan dibuat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) membabitkan Kampung Pinang, Pokok Asam dan Batang Tiga susulan mendakwa sudah bosan apabila aduan tidak dilayan pihak berkuasa.

Dalam ‘operasi’ kira-kira jam 8.30 malam semalam, kebimbangan penduduk terbabit terjawab apabila berjaya menahan seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai warga Bangladesh yang mendarat di pantai terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang Gue Teck berkata, serbuan dilakukan penduduk sebaik menyedari kehadiran teksi iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Katanya, pada awalnya penduduk cuba menghampiri kenderaan terbabit yang dilihat sarat dengan penumpang dipercayai PATI, namun gagal menahannya apabila berjaya lolos.

“Bagaimanapun, selang beberapa minit kemudian, sebuah lagi teksi Toyota Innova yang memuatkan penumpang muncul dan berjaya dihalang. Lapan lelaki dipercayai warga asing termasuk pemandunya ditahan.

“Selepas itu, penduduk menghubungi polis sebelum lima lagi PATI ditemui dalam pemeriksaan polis di kawasan sekitar pantai itu. Turut ditahan seorang lelaki warga Indonesia dipercayai tekong darat,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Klebang, hari ini.

Katanya, tekong darat itu juga didakwa cuba menyogok anggota MPKK dengan sejumlah wang untuk melepaskan dirinya.

“Lelaki berkenaan berusia 40-an, manakala semua PATI warga Bangladesh yang ditahan itu berusia antara 30 hingga 60 tahun diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan polis membuat tangkapan semula ke atas PATI terbabit dan merampas sebuah kenderaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1)c Akta Imigresen 1963.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 6:56pm
d