mutakhir

Hibah TH: SPRM belum buka kertas siasatan

Oleh Siti Sofia Md Nasir

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneliti maklumat berhubung isu pemberian hibah kepada pendeposit Tabung Haji (TH) sejak 2014, yang didakwa bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, berkata pihaknya perlu meneliti maklumat terbabit, sama ada ia berasas serta tertakluk mengikut kesalahan Akta SPRM.

“Untuk laporan semalam, setakat ini kita masih meneliti maklumat untuk pastikan ada asas atau tidak.

“Kita tidak boleh terus buka kertas siasatan.

“Kalau ada kesalahan lain, kita akan salurkan pada pihak lain. Kita hanya tumpu pada Akta SPRM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tren Balutan Bermesej di Bukit Mertajam, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf semalam, mengenai pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 yang dikatakan bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Keadaan itu didakwa menyebabkan agensi berkenaan mengalami defisit RM4.1 bilion.

Bagaimanapun bekas Pengerusi Lembaga TH, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata, kenyataan Mujahid itu hanya dibuat berpandukan laporan kewangan audit syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC).

Abdul Azeez berkata, kenyataan berkenaan tidak mengambil kira laporan Ernst & Young (EY) dari 2015 sehingga 2017, yang menilai pasaran semasa aset keseluruhan membabitkan anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usaha sama dan hartanah TH.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 7:56pm
d