mutakhir

Adib tidak perlu mesin sokongan lagi

Oleh BERNAMA

MUHAMMAD Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah selepas diserang dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu tidak lagi memerlukan mesin sokongan Veno-Venous Extracorporeal Membrane Oxygenation (vv-ECMO) untuk paru-parunya berfungsi.

Institut Jantung Negara (IJN) dalam satu kenyataan, hari ini, berkata doktor sudah menanggalkan mesin itu pada 12 tengah hari selepas mendapati perkembangan dan keadaan klinikalnya yang beransur pulih.

“Dia menunjukkan kemajuan yang amat baik dalam tempoh 72 jam yang lalu. Dia dapat berkomunikasi melalui papan tulis bersama keluarga dan penyedia penjagaan kesihatannya,

“(Bagaimanapun) Muhammad Adib masih memerlukan sokongan pernafasan melalui bantuan mesin ventilator dan dialisis. Terapi pemulihannya akan ditingkatkan untuk memantapkan kekuatan otot dan kekuatan untuk anggota bahagian atas dan bawah,” katanya.

Muhammad Adib menggunakan bantuan mesin terbabit sejak menerima rawatan di IJN.

Awal bulan ini, doktor menghentikan mesin sokongan jantung apabila jantungnya dapat berfungsi dengan sendiri.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 8:10pm
d