mutakhir

Siapa punya kerja ni?

Oleh Shahrinnahar Latib

POLIS menerima 10 laporan daripada individu yang menjadi mangsa kejadian cermin kereta dipecahkan menggunakan guli, ketika kenderaan bergerak, di beberapa kawasan di bandar Kuantan, sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, sehingga kini pihaknya sedang berusaha mengesan individu terbabit termasuk mempergiat rondaan di beberapa kawasan yang dikesan sering berlaku insiden berkenaan.

“Berdasarkan maklumat, kejadian yang paling kerap berlaku di sekitar Kampung Tengah. Motif kejadian kita belum dikenal pasti, namun kita percaya ia dilakukan secara rambang.

“Kita mengambil serius mengenai kejadian ini dan sedang berusaha untuk kesan, kenal pasti dan menahan suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media semalam melaporkan, pengguna jalan raya di beberapa kawasan di sekitar bandar ini diselubungi kebimbangan berikutan beberapa insiden cermin kereta dipecahkan ketika sedang bergerak sejak Jun lalu.

Antara kawasan yang berlaku kejadian ini adalah sekitar Jalan Wong Ah Jang, Jalan Haji Junid, Jalan Kampung Jawa dan Jalan Kampung Tengah.

Difahamkan sehingga kini, kejadian membabitkan 11 kenderaan.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Aidil Haryman Mat Nor berkata, kejadian berkenaan berlaku antara jam 7 malam hingga 12 tengah malam.

Berdasarkan maklumat daripada mangsa, individu terbabit dipercayai menggunakan senapang angin atau lastik.

Disiarkan pada: December 12, 2018 @ 10:57am
d