mutakhir

Tong gas bertaburan atas jalan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

RATUSAN tong gas petroleum cecair (LPG) bertaburan selepas sebuah treler membawa muatan bahan itu terbalik di Kilometer 6, Jalan Gemas-Tampin, dekat Pasir Besar, Tampin, semalam.

Pada kejadian 9 malam itu, pemandu treler berusia 37 tahun terbabit cedera di tangan, kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, ketika kejadian, treler berkenaan dalam perjalanan dari Mentakab, Pahang menuju ke Johor Bahru.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, kenderaan itu membelok ke susur sebelah kiri, namun kenderaan berat itu mengalami masalah brek menyebabkannya terbalik.

“Susulan kejadian itu, ratusan tong gas yang dibawa jatuh bertaburan di atas jalan raya namun bernasib baik kerana tidak membabitkan kenderaan lain.

“Pemandu treler dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Ramli berkata, akibat kejadian, laluan itu tidak dapat digunakan seketika malam semalam.

“Kerja mengalihkan serta memindahkan tong gas terbabit selesai sepenuhnya jam 7.15 pagi,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Jalan Raya 166/59.

Disiarkan pada: December 12, 2018 @ 11:51am
d