mutakhir

Dua syarikat tak mengaku cuai [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

DUA syarikat yang didakwa cuai ketika menjalankan kerja pembersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar dan dua lagi cedera pada Februari lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini.

Bagaimanapun, Miyusof Enterprise yang diwakili pengarahnya, Mohd Yusof Ismail dan Hisham Rais M Sdn Bhd diwakili pengarah, Hishamudin Rais mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Maimoonah Aid.

Mengikut pertuduhan, Syarikat Miyusof Enterprise didakwa gagal menyediakan prosedur kerja selamat penggunaan traktor pemotong rumput sehingga menyebabkan kematian Nur Afini Roslan, 14, dan dua cedera iaitu Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13.

Syarikat Hisham Rais M Sdn Bhd pula didakwa gagal menyelia penggunaan traktor pemotong rumput sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan kepada mangsa yang sama.

Kejadian itu berlaku di padang sekolah SMK Tuanku Abdul Rahman, Gemas, pada jam 10.20 pagi, 13 Februari lalu.

Kedua-dua syarikat didakwa mengikut Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Sembilan, Intan Noorashikin Nasaruddin.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian 13 Februari lalu, pelajar tingkatan dua Nur Afini meninggal dunia selepas kepalanya terkena bilah pisau mesin rumput yang ditarik menggunakan traktor.

Dua rakannya, Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, cedera ringan dalam insiden itu.

Disiarkan pada: December 12, 2018 @ 1:34pm
d