mutakhir

Nak diskaun bil elektrik sangat...

Oleh Shahrinnahar Latib

POLIS sedang mengesan seorang lelaki dipercayai memperdaya seorang pengarah urusan sebuah syarikat di Semambu, di Kuantan dengan menawarkan diskaun bayaran bil elektrik sehingga mengakibatkan kerugian RM26,497.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek berusia 32 tahun itu dipercayai menawarkan diskaun 10 peratus untuk bil elektrik syarikat dan hotel milik mangsa.

“Kejadian bermula pada 16 Julai lalu apabila mangsa didatangi suspek di pejabatnya di Semambu, sebelum menawarkan diskaun berkenaan.

“Bagaimanapun, mangsa pada mulanya enggan menerima namun suspek menawarkan bantuan untuk mendahulukan bayaran bil berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudiannya membuat bayaran dan meminta mangsa membuat semakan di laman web TNB serta mendapati bil elektrik atas akaun milik syarikat dan hotelnya sudah dijelaskan.

“Mangsa kemudian mengeluarkan cek atas nama suspek berjumlah RM26,497 sebagai bayaran balik.

“Bagaimanapun, pada 16 November lalu, mangsa menerima surat dari pihak TNB menyatakan transaksi bayaran bagi akaun milik syarikat dan hotel miliknya sebelum ini gagal dan mempunyai tunggakan bayaran bil elektrik sebanyak RM29,441.90,” katanya.

Mohd Wazir berkata, menyedari dirinya sudah ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kelmarin.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2018 @ 2:21pm
d