mutakhir

Rusuhan kuil: Sembilan lagi didakwa

Oleh Sarah Zulkifli

SEMBILAN lagi lelaki, termasuk seorang penuntut kolej yang terbabit dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, akhir bulan lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas pertuduhan merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya.

Kesemua tertuduh berusia antara 20 hingga 44 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Nurshahirah Abd Salim.

Mereka adalah Muhammad Qayyum Mohd Faisal, Mohd Ashraf Mohd Faisal, Absal Evastrie Abdullah, Muhamed Jalil Talib, Muhammad Khairol Anuar Zabidi (pelajar kolej), Muhd Zamri Md Said, Shukri Razali, Afizal Sabtu dan Nor Azmi Abdul Ghani.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama empat lelaki yang sudah dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan beberapa yang masih bebas didapati berada dalam rusuhan dan semasa rusuhan itu, kesemuanya memiliki parang, kapak, pisau dan kayu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kuil berkenaan, di USJ 25, Seafield, dekat Petaling Jaya, antara jam 2 pagi dan 5 pagi, 26 November lalu.

Dakwaan kes terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Kesemua tertuduh kemudian dibenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin serta lapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Januari depan sebagai semula kes.

Disiarkan pada: December 12, 2018 @ 2:37pm
d