mutakhir

'Bergaduh dengan jiran, sampai ditikam'

Oleh Ruwaida Md Zain

TIDAK puas hati serta sering bertikam lidah menjadi punca seorang wanita maut ditikam jirannya dalam kejadian di kawasan Pasar Sin Chun, Batu 16, dekat Rawang, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan mendapati isu kejiranan membabitkan suspek dan mangsa, sudah lama berlarutan.

“Kes ini adalah masalah dua jiran, ia berlarutan apabila jiran saling tegur-menegur sehingga tidak dapat menahan perasaan sabar.

“Siasatan mendapati, mereka kerap bergaduh sebelum itu. Jika berlaku perkara seperti ini, mereka sepatutnya menghubung polis,” katanya.

Akhbar NSTP hari ini, melaporkan lelaki parah, manakala isterinya maut selepas ditikam oleh seorang lelaki.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, isterinya Yap Choon Mooi, 41, disahkan meninggal di Hospital Selayang.

Susulan kejadian, polis menahan suspek di sekitar lokasi kejadian yang dipercayai jiran kepada pasangan berkenaan.

Ujian saringan air kencing terhadap suspek yang berusia 49 tahun itu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 18 Disember depan, bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan

'Khayal dadah, rupanya...'

Isteri maut ditikam

Disiarkan pada: December 12, 2018 @ 4:25pm
d