mutakhir

Rokok putih bernilai RM4 juta dirampas

Oleh Suzalina Halid

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 4.7 juta batang rokok putih disyaki menggunakan cukai palsu bernilai hampir RM4 juta selepas menahan tiga buah lori di Sungai Buloh, Selangor, Sabtu lalu.

Kejadian berlaku pada 6.30 pagi apabila sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan menerima maklumat awam sebelum menahan tiga lori bermuatan rokok itu di kawasan parkir hentian sebelah Sungai Buloh arah Selatan Lebuhraya Utara-Selatan dekat Sungai Buloh.

Pengarahnya Datuk Johari Alfiah berkata, pihaknya menahan dua lelaki disyaki pemandu lori berusia 34 dan 49 tahun sebelum merampas semua rokok terbabit.

“Sebaik menerima maklumat, anggota kita bergerak ke lokasi sebelum menahan ketiga-tiga lori bersama dua lelaki disyaki pemandunya, bagaimanapun seorang lagi pemandu berjaya melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap ketiga-tiga lori itu menemui sebanyak 4,750,000 batang rokok dianggarkan bernilai RM712,500 dan anggaran jumlah duti atau cukai ialah kira-kira RM3.2 juta dengan keseluruhan nilai menghampiri RM4 juta, ” katanya pada sidang media di Alor Setar, hari ini.

Pada masa sama, Johari berkata, pihaknya sedang menyiasat sama ada tiga lori itu datang dari negeri di utara, selain tempat pendaratan sah atau tidak.

Katanya, pihaknya masih menyiasat dalang utama penyeludupan rokok berjenama dari Vietnam itu yang dipercayai dibawa ke Lembah Klang bagi pasaran di kawasan tengah.

“Kita percaya dalang utama ini hanya mengupah dua suspek yang kita tahan ini sebagai pemandu. Justeru, kita memohon maklumat orang awam untuk membantu.

“Rampasan kali ini adalah yang terbesar sepanjang penganjuran Ops Krismas yang dijalankan JKDM Kedah bermula 11 November lalu hingga 26 Disember ini, ” katanya.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda dari nilai barang dan tidak lebih 20 kali ganda dari nilai barang atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bagi kesalahan kedua dan seterusnya, ia boleh dikenakan denda tidak kurang 20 kali ganda dari nilai barang dan tidak lebih dari 40 kali ganda dari nilai barang atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: December 12, 2018 @ 5:30pm
d