mutakhir

'Hanya kerana gaji RM60 sehari'

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

HANYA kerana gaji RM60 sehari, seorang lelaki warga Myanmar mungkin berdepan risiko dihukum gantung selepas ditahan polis bersama 1.1 kilogram dadah heroin di Sungai Divison, di Sungai Petani, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, suspek berusia 35 tahun ditahan di sebuah rumah di kawasan ladang sawit yang dipercayai dijadikan sebagai markas pembungkusan dadah.

“Serbuan dilakukan berdasarkan maklumat awam dan hasilnya kita menemui dadah jenis heroin dalam bentuk ketulan serta serbuk yang sudah dibungkus di dalam peket plastik.

“Ada dalam peket besar ada juga dalam peket kecil. Paling banyak adalah dalam peket kecil iaitu 240 peket,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di Sungai Petani, hari ini.

Adzli berkata, turut dirampas bersama lelaki itu adalah tujuh peket plastik kecil dadah jenis syabu dengan berat enam gram, alat pembungkusan dan penimbang dengan nilai rampasan RM31,231.50.

“Suspek sudah memasuki negara ini sejak 10 tahun lalu dan berdasarkan siasatan suspek baru bergiat menjadi ‘runner’ dalam tempoh setahun ini dengan gaji RM60 sehari.

“Kita tidak menolak kemungkinan gaji yang lebih lumayan mendorong suspek yang juga tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah menjadi ‘runner’ berbanding menjadi buruh.

“Malah kita juga tidak menolak kemungkinan pihak tertentu menjadikan status warga asing suspek sebagai modus operandi untuk mengaburi kegiatan mereka dari pihak berkuasa,” katanya yang turut mengesahkan suspek turut positif dadah jenis syabu.

Katanya, suspek direman selama seminggu sejak semalam hingga 18 Disember ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

“Selain itu, ia turut disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 12:31pm
d