mutakhir

Sami didakwa dera anak hingga mati

Oleh Murni Wan Omar

SEORANG bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kajang, atas pertuduhan mendera anak lelakinya berusia 10 tahun sehingga mati, minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 43 tahun, juga seorang sami di sebuah kuil di Semenyih, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Lelaki itu didakwa melakukan penderaan dengan mencederakan fizikal kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kematiannya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Seksyen 1, Bandar Rinching, Semenyih, pada jam 10.35 malam, 5 Disember lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan menawarkan jaminan RM20,000 dan memohon supaya tertuduh tidak mendekati dua lagi anaknya.

Tertuduh yang diwakili peguam SR Sree Devi Naidu memohon jaminan dikenakan terhadap anak guamnya dikurangkan.

Beliau mendakwa tertuduh tidak mampu kerana sudah kehilangan kerja, manakala rumah pula sedang dalam proses untuk dilelong.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dan menetapkan 10 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 12:42pm
d