mutakhir

Tuduhan terhadap Hishammuddin tidak berasas

Oleh Amir Mamat

TUDUHAN terhadap bekas Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai dalang di sebalik tindakan sebahagian besar wakil rakyat di Sabah keluar UMNO adalah tidak berasas.

Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, tiada bukti kukuh menunjukkan bekas Naib Presiden UMNO itu berbuat demikian.

“Tuduhan terhadap Datuk Seri Hishammuddin adalah tidak berasas dan boleh mengeruhkan keadaan.

“Sehubungan itu, saya berharap semua ahli dan penyokong parti dapat bertenang dan jangan terpedaya dengan berita yang boleh meretakkan perpaduan serta kekuatan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, di Jasin, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, tuduhan terhadap Hishammuddin sebagai individu yang mempengaruhi pemimpin UMNO Sabah keluar parti beramai-ramai adalah tidak wajar.

Katanya, ini kerana tindakan UMNO Sabah adalah di atas kapasiti dan kehendak mereka sendiri.

“Tuduhan ini akan terus melemahkan hubungan sesama ahli dalam parti,” katanya.

Abdul Rahman berkata, perjumpaan antara Hishammuddin dengan Ahli Parlimen dari UMNO beberapa bulan lalu adalah bertujuan untuk memberikan semangat untuk terus berada dalam parti dan perkukuh dalaman.

“Kepemimpinan UMNO Pusat seharusnya memberi tumpuan untuk memperbetulkan krisis dalaman yang sedang melanda dan Hishammuddin perlu dilihat sebagai individu yang membantu mengekalkan ahli Parlimen untuk terus kekal dalam UMNO dan bukan yang mengkhianati UMNO,” katanya.

Laporan sebuah portal berita yang memetik sumber, mendakwa Hishammuddin adalah dalang di sebalik tindakan beberapa wakil rakyat UMNO di Sabah berpaling tadah.

Laporan portal itu memetik kenyataan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang dimuat naik di Twitter.

Khairy sebelum itu ditanya oleh seorang pengguna media sosial berkenaan mengapa tidak berusaha menghalang tindakan mereka keluar parti, lalu beliau menjawab “Dah cuba tapi ada puak ‘bangsawan’ yang mendorong kepada tindakan keluar beramai-ramai.”

Berita berkaitan

'Tali hayat? Silap besar...'

'Itu gambar lama...' - Tok Mat

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 2:49pm
d